Skip to main content

Berita

CeDS Terima Kunjungan Penanda Aras Politeknik Premier Port Dickson bagi Memperkukuh Kerjasama Akademik

Oleh Dr Nurul Syakeera binti Nordin
05 Oktober 2026, 3:53 pm
CeDS Terima Kunjungan Penanda Aras Politeknik Premier Port Dickson bagi Memperkukuh Kerjasama Akademik

PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan delegasi dari Politeknik Premier Port Dickson pada 5 Oktober 2026 dalam satu lawatan penanda aras yang bertujuan memperkukuh perkongsian amalan terbaik serta hubungan akademik antara kedua-dua institusi.

Kunjungan tersebut disambut mesra oleh pihak CeDS sebagai platform untuk bertukar pandangan, pengalaman dan amalan terbaik dalam pelaksanaan akademik, khususnya melibatkan aspek kurikulum, pengurusan jabatan serta pembangunan dan pelaksanaan program akademik.

Sesi ucapan aluan telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma, yang mengalu-alukan kehadiran delegasi Politeknik Premier Port Dickson ke CeDS. Dalam ucapan tersebut, beliau menzahirkan penghargaan atas kesudian pihak delegasi mengadakan kunjungan penanda aras serta menyambut baik peluang perkongsian ilmu dan pengalaman antara kedua-dua institusi.

Ketua delegasi Politeknik Premier Port Dickson, YBrs. Dr Muhammad Lutfi bin Othman, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, turut menyampaikan maklum balas dan penghargaan atas sambutan serta kerjasama yang diberikan oleh pihak CeDS. Kunjungan ini dilihat sebagai satu platform yang bermanfaat untuk mendapatkan pendedahan terhadap amalan dan pendekatan yang dilaksanakan di CeDS, di samping meneroka ruang perkongsian yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Seterusnya, sesi pengenalan Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), Pusat Pengajian Diploma telah disampaikan oleh YBrs. Ts Dr Aslila binti Abd Kadir, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, CeDS. Sesi tersebut memberikan gambaran berkaitan jabatan serta pendekatan yang dilaksanakan dalam pengurusan dan pelaksanaan program akademik.

Sesi perkongsian turut berlangsung secara interaktif melalui pertukaran pandangan, perbincangan akademik dan perkongsian idea antara kedua-dua pihak. Perbincangan yang diadakan bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, malah memberi peluang kepada kedua-dua institusi untuk mengenal pasti pendekatan dan amalan yang boleh dipertimbangkan bagi penambahbaikan berterusan.

Selain sesi perkongsian akademik, delegasi turut dibawa mengadakan lawatan ke fasiliti dan makmal yang berkaitan dengan kursus-kursus Diploma Kejuruteraan Awam di Pusat Pengajian Diploma. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk melihat secara lebih dekat kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta fasiliti yang digunakan bagi menyokong pelaksanaan kursus dan aktiviti amali pelajar.

Lawatan penanda aras ini diharapkan dapat memberikan manfaat yang berpanjangan kepada kedua-dua institusi, khususnya dalam memperkukuh jaringan akademik, meningkatkan perkongsian amalan terbaik serta membuka ruang kepada kolaborasi strategik pada masa hadapan.