Skip to main content

Berita

Staf Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia Berganding Bahu Bersama SAJ Bagi Pengisian Skim Pembangunan Potensi

Oleh Dr Dilaeleyana binti Abu Bakar Sidik
25 September 2026, 3:26 pm
Staf Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia Berganding Bahu Bersama SAJ Bagi Pengisian Skim Pembangunan Potensi

PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Jabatan Sains dan Matematik telah menganjurkan Sesi Perkongsian Ilmu berfokuskan teknologi rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) Gersik, Ranhill SAJ. Sesi dalam talian yang disampaikan oleh Dr. Dilaeleyana Abu Bakar Sidik ini bertujuan melengkapkan pelaporan Skim Pembangunan Potensi (SPP) staf yang telah dilaksanakan bermula 17 Ogos 2026 hingga 18 September 2026, di samping memindahkan pengetahuan teknikal industri terus ke dalam ekosistem akademik CeDS UTHM.

Perkongsian teknikal ini mengupas proses rawatan air secara menyeluruh (end-to-end) yang mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ranhill SAJ. Antara komponen utama yang dibincangkan termasuklah sistem saringan multi-tingkat, pengudaraan bertingkat (cascading aeration), penapisan pasir graviti (sedimentation), serta pengintegrasian sistem kawalan automatik untuk dos kimia yang optimum. Di samping itu, penggunaan Centrifugal Decanter dan Geotube Bag turut diberi penekanan bagi pengurusan enapcemar yang mampan.

Inisiatif ini memberikan manfaat yang mendalam kepada kedua-dua pihak, terutamanya staf yang menghadiri taklimat. Bagi peserta, perkongsian ini membuka peluang untuk mengemas kini pengetahuan teknikal industri terkini, memahami aplikasi sebenar teori kejuruteraan kimia di loji rasmi, serta menyempurnakan keperluan pelaporan Skim Pembangunan Potensi (SPP) masing-masing. Manakala bagi penceramah, sesi ini berfungsi sebagai platform pengiktirafan kepakaran industri, medan pemindahan ilmu (knowledge transfer), dan pemangkin kepada penganjuran kolaborasi penyelidikan serta jaringan profesional bersama rakan akademik.

Bagi memastikan impak berterusan, CeDS, UTHM dan Ranhill SAJ turut merangka pelan kolaborasi strategik yang merangkumi tiga teras utama iaitu Penyelidikan & Inovasi, Pembangunan Komuniti dan Pemindahan Ilmu & Bakat melalui syarahan pakar industri untuk pelajar CeDS, UTHM di samping pemantapan latihan industri dan kebolehpasaran graduan. Penganjuran sesi ini jelas membuktikan komitmen CeDS, UTHM dalam memperkasa warga akademik dengan ilmu industri terkini, sekali gus menjadikan sinergi ini sebagai penanda aras dalam memperkasakan pendidikan berasaskan aplikasi praktikal demi kelestarian masa depan.