Skip to main content

Berita

UTHM Adakan Lawatan Penanda Aras ke Politeknik Mersing Johor bagi Memperkasa Program Diploma Teknologi Maklumat

Oleh Ts Inv. Dr Shelena a/p Soosay Nathan
11 November 2026, 6:08 pm
UTHM Adakan Lawatan Penanda Aras ke Politeknik Mersing Johor bagi Memperkasa Program Diploma Teknologi Maklumat

MERSING: Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Politeknik Mersing Johor (PMJ) bagi mendapatkan perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam pelaksanaan serta pengurusan Program Diploma Teknologi Maklumat.

Lawatan yang melibatkan empat orang wakil UTHM ini telah disambut oleh pihak pengurusan dan warga akademik JTMK, PMJ. Program dimulakan dengan sesi pembentangan dan perbincangan yang memberi tumpuan kepada perkongsian pelaksanaan program akademik di kedua-dua institusi.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk struktur dan pembangunan kurikulum, pelaksanaan Outcome-Based Education (OBE), kaedah penyampaian pengajaran dan pembelajaran, pemantauan serta pentaksiran akademik, penglibatan industri, pelaksanaan projek diploma dan latihan industri.

Sesi perbincangan turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta mengenal pasti pendekatan yang boleh dimanfaatkan dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian program dan pengalaman pembelajaran pelajar.

Selain sesi perkongsian, delegasi UTHM turut dibawa melawat kemudahan dan makmal pengajaran JTMK, PMJ. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk melihat sendiri kemudahan, persekitaran pembelajaran dan penggunaan kemudahan dalam menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran bidang Teknologi Maklumat.

Secara keseluruhannya, lawatan penanda aras ini menjadi platform yang bermanfaat dalam memperkukuh hubungan antara UTHM dan PMJ, khususnya melalui perkongsian kepakaran, penambahbaikan berterusan program akademik serta penerokaan peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan aktiviti kolaboratif pada masa hadapan.

Inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen Pusat Pengajian Diploma UTHM dalam memastikan program akademik sentiasa relevan, berkualiti dan responsif terhadap keperluan industri serta perkembangan semasa bidang teknologi maklumat.