Skip to main content

Berita

Karnival Inovasi dan Pra Alumni CeDS 2016

Oleh CeDS
15 Disember 2016, 8:00 am
Karnival Inovasi dan Pra Alumni CeDS 2016

PARIT RAJA: Karnival Inovasi CeDS Ke-7, Semester I Sesi 2016/2017 telah berjaya dijalankan pada 14 Disember 2016 di Dewan Tunku Makhota Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang. Karnival yang diadakan setiap tahun ini bertujuan untuk menilai projek diploma pelajar tahun akhir di samping untuk mempamer produk inovasi dari pelajar CeDS kepada umum untuk membuktikan potensi dan kebolehan pelajar CeDS.

Pelajar juga akan dapat merasai suasana pameran dan pertandingan produk inovasi sebenar. Jumlah pelajar yang terlibat sebagai peserta adalah seramai 289 orang, terdiri dari 83 kumpulan dari empat jabatan di bawah CeDS iaitu Jabatan Kejuruteraan Awan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, dan Jabatan Sains dan Matematik. Selepas pendaftaran dan sarapan pagi, penilaian peringkat pertama telah dijalankan oleh panel penilai dalam yang terdiri dari pensyarah CeDS. Buat julung kalinya bicara alumni telah diadakan dengan ucapan pembukaan oleh Profesor Madya Dr Adnan bin Zainorabidin, Pengarah Pusat Kemajuan dan Hubungan Alumni (CARE) UTHM. Slot diteruskan dengan forum bersama tiga orang alumni CeDS dengan Hj Zulkarnain bin Md Amin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar CeDS sebagai moderator.

11 panel penilai luar dari fakulti dan industri dijemput bagi penilaian peringkat kedua untuk mengenalpasti tiga projek terbaik dari lima projek terbaik setiap jabatan. Sepanjang proses penilaian, para pelajar ditemubual mengenai perlaksanaan dan hasil projek melalui poster dan prototaip yang dipamer. Kemahiran komunikasi, insaniah, dan kerjasama pelajar dapat dilihat melalui kesungguhan mereka untuk menerangkan dan mempertahankan hasil projek masing-masing. Majlis perasmian dimulakan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor dan Negaraku, disusuli dengan ucapan dari Prof. Madya Dr. Mohd Zaky bin Noh, Dekan CeDS dan wakil panel penilai luar. Karnival dirasmikan oleh Profesor Madya Dr Nik Hisyamudin Bin Muhd Nor, Timbalan Dekan - Pusat Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ICC) UTHM. Selepas tayangan montaj, sesi penyampaian hadiah dan cenderahati kepada jemputan dan pemenang berlangsung. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu UTHM. Idea-idea inovasi ini diharap mampu dikembangkan ke peringkat penyelidikan yang lebih tinggi dan mendalam melalui pertukaran maklumat, pengetahuan, dan pengalaman di antara para pengunjung dan panel penilai dengan peserta.