Skip to main content

Berita

Young Engineers at School Pupuk Minat Pelajar Ceburi Bidang Kejuruteraan

Oleh CeDS
29 Oktober 2018, 8:00 am
Young Engineers at School Pupuk Minat Pelajar Ceburi Bidang Kejuruteraan

PANCHOR: Bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah tentang ilmu kejuruteraan, seramai 22 orang mahasiswa tahun dua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dengan diiringi oleh para pensyarah yang diketuai Encik Muhammad Hanafi Asril Rajo Mantari, telah menganjurkan Program Young Engineers at School pada 25 Oktober yang lalu.

Program yang melibatkan tiga buah sekolah di sekitar Panchor ini telah diadakan di SK Kota Raja yang turut disertai oleh dua buah sekolah lain iaitu SJK (C) Ai Hwa dan SJK (T) Lanandron. Program anjuran Jabatan Kejuruteraan Mekanikal yang diketuai oleh Saudara Muhammad Amirul Heilmi bin Ishak, selaku Pengarah Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar sekolah tentang ilmu-ilmu dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.

Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah pertandingan Steam Powered Boat yang mengaplikasikan ilmu asas termodinamik dalam pergerakan bot di air. Para pelajar dikehendaki mereka bentuk bot mereka sendiri dalam kumpulan yang ditetapkan dengan dibantu oleh fasilitator. Menurut Guru Besar SK Kota Raja, Tuan Haji Ahmad Ridzuan bin Ismail, program yang julung-julung kali diadakan ini menjadi titik permulaan kerjasama antara pihak sekolah dan UTHM dalam menjalankan program-program yang boleh menarik minat pelajarnya untuk menerokai ilmu sains dan teknologi. Beliau juga berharap agar program sebegini dapat diteruskan di masa akan datang. Di samping itu, program ini telah sedikit sebanyak mengisi masa lapang bagi murid-murid lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sedang menunggu keputusan mereka.

Penganjuran program komuniti sebegini telah merancakkan lagi peranan UTHM Pagoh sebagai sebuah medan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Pengisian yang berfokuskan kepada aktiviti-aktiviti yang mengaplikasikan sains dan teknologi ini secara tidak langsung mempromosikan program-program kejuruteraan khususnya di Kampus Pagoh. Selain itu, para mahasiswa khususnya di CeDS juga mendapat pengalaman menguruskan program dan belajar untuk berkomunikasi dengan pihak luar sebagai latihan dalam memantapkan lagi kemahiran insaniah dan keyakinan diri mereka dalam mendepani sebarang cabaran di masa akan datang.

Gambar Berkumpulan

Barisan Tetamu Kehormat

Dari kanan: Encik Muhammad Hanafi bin Asril Rajo Mantari (Penaung Program) Encik Rosdi bin Ab Rahman (Ketua Jabatan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal), Tuan Haji Amir Khan bin Suwandi (Timbalan Dekan Akademik), Tuan Haji Ahmad Ridzuan bin Ismail (Guru Besar SK Kota Raja), Encik Jeganathan (Guru Pengiring SJK(T) Lanandron).

Para Pensyarah Sebagai Juri Pertandingan

Perbincangan Berkumpulan

Hasil Projek Salah Sebuah Kumpulan