Skip to main content

Berita

Young Technologist @ School Meriah

Oleh Berita UTHM
19 Mac 2020, 8:55 am
Young Technologist @ School Meriah

PAGOH: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Pengajian Diploma (CeDS) terus menganjurkan program berteraskan sains dan teknologi dengan penglibatan masyarakat untuk manfaat bersama. Terkini, CeDS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah menganjurkan program Young Technologist @ School.

Program tersebut melibatkan penyertaan lebih 300 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 38 sekolah seluruh negeri Johor. Ia telah diadakan pada 20 Februari lalu bertempat di UTHM Kampus Pagoh. Penganjuran program yang berbentuk pertandingan ini mempertaruhkan empat kategori mengikut jabatan yang ada di CeDS.

Jabatan Kejuruteraan Elektrik menganjurkan pertandingan pengaplikasian kemahiran pemikiran logikal melalui pengaturcaraan Arduino untuk robotik yang diberi nama FAST4WARD 2.020: Autonomous Racing Challenge dengan melibatkan 192 peserta daripada 23 sekolah rendah.

Manakala Jabatan Kejuruteraan Awam menganjurkan pertandingan Young Bridge Modelling Competition, iaitu penghasilan model jambatan dengan konsep teknologi kejuruteraan struktur, yang melibatkan lima sekolah menengah dengan penyertaan 60 pelajar.

Jabatan Teknologi Maklumat mengetengahkan kemahiran penggunaan perisian animasi melalui penganjuran Digital Storytelling: 2D Animation yang membabitkan lima sekolah menengah dengan penyertaan 30 pelajar.

Sementara itu, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal pula menganjurkan pertandingan yang menggunakan konsep teknologi hidraulik melalui Hydraulic Robotic Arm Competition (HyRAC) melibatkan 50 pelajar daripada lima sekolah rendah.

Terdahulu, sebelum pertandingan Young Technologist @ School berlangsung, para pensyarah dan pelajar program diploma dari keempat-empat jabatan turut mengadakan training of trainers (ToT) kepada guru dan pelajar sekolah yang terlibat melalui program community service responsibility (CSR) dan knowledge transfer programme (KTP) yang dilaksanakan sepanjang tahun 2019 dan awal tahun ini. Penganjuran program Young Technologist @ School ini merupakan pertandingan akhir yang mengumpulkan keseluruhan peserta tersebut.

Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Mohd Shahir Shamsir bin Omar. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Keputusan pertandingan menyaksikan Sekolah Kebangsaan Panchor meraih juara dalam pertandingan Hydraulic Robotic Arm Competition (HyRAC) manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seri Amar Diraja meraih juara dalam pertandingan Digital Storytelling: 2D Animation. Sementara itu, Kolej Vokasional Batu Pahat meraih juara bagi Young Bridge Modelling Competition dan Sekolah Kebangsaan Bandar Rengam pula juara bagi FAST4WARD 2.020: Autonomous Racing Challenge.

Artikel asal: Berita UTHM


Young Technologist @ School