Skip to main content

Berita

CeDS Hasilkan We-SET, Bantu Lepasan SPM Pilih Diploma UTHM Dengan Tepat

Oleh Ts Dr Mohd Shahir bin Yahya
19 Ogos 2022, 10:17 am
CeDS Hasilkan We-SET, Bantu Lepasan SPM Pilih Diploma UTHM Dengan Tepat

PAGOH: Kumpulan Penyelidik Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya membangunkan inovasi alat simulasi pantas iaitu Web Based Self Evaluation Tool (We-SET) bagi membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih program diploma yang tepat dan layak dengan keputusan yang diperoleh.

We-SET telah dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik Sustainable Product Development (S-ProuD) yang diketuai oleh Dekan CeDS, Ts Dr Mohd Shahir Yahya dan dibantu oleh Pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat, Fawwaz Mohd Nasir dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Ts Mohd Muzaffar Zahar merangkap Ketua Unit Jawatankuasa Promosi CeDS.

Menurut Dr Mohd Shahir, penyelidikan dan pembangunan We-SET ini bermula apabila ramai pelajar dan ibu bapa pelajar menghubungi pejabat dan staf CeDS bertanyakan kesesuaian keputusan SPM dengan kelayakan untuk memasuki ke program Diploma CeDS, UTHM.

“Bagi membantu menyelesaikan masalah ini, maka tercetuslah idea untuk menghasilkan We-SET,” katanya.

Di awal penghasilan inovasi alat simulasi ini, penyelidik telah menggunakan platform Google Sheet dan telah mendapat maklum balas untuk penambahbaikan. Sehingga Disember 2021, produk inovasi ini telah ditambahbaik dengan penghasilan alat simulasi berasaskan web melalui laman web rasmi CeDS.

“Kelebihan We-SET ini, ianya dapat mengurangkan masa semakan dan pemilihan tujuh program diploma yang bersesuaian dengan keputusan SPM pelajar sehingga 92 peratus pengurangan masa”.

“Dengan We-SET, pelajar boleh mengetahui semua maklumat program diploma tertentu secara terus melalui pautan yang diberikan pada setiap program.

“Perkara ini sangat membantu pelajar membuat keputusan dalam menentukan pemilihan program diploma yang sesuai dengan minat mereka,” jelas beliau.

Bagi CeDS pula, pihak pengurusan boleh mendapat data secara terus berkaitan potensi dan kelayakan pelajar yang berminat mengikuti program diploma UTHM, sekali gus membantu memenuhi kuota penawaran ke program Diploma UTHM selain melalui sistem UPU.

“Diharapkan dengan adanya We-SET ini, ianya dapat membantu dan dimanfaatkan oleh semua pelajar dan ibu bapa seluruh Malaysia untuk mendapat maklumat kesesuaian program diploma secara cepat dan tepat,” katanya.

We-SET juga diharap dapat dijadikan sebagai medium bagi membantu Jawatankuasa Promosi CeDS mempromosi program diploma ke sekolah-sekolah supaya pelajar yang bakal mengambil SPM akan lebih cakna dengan subjek yang perlu diberi tumpuan bagi memenuhi kelayakan masuk ke program Diploma UTHM.

Untuk maklumat lanjut mengenai We-SET ini, sila klik pada pautan ini.

Artikel ini telah sebelum ini diterbitkan di Berita UTHM.