Skip to main content

Berita

YOUTH 2022 Landasan Berkongsi Hasil Reka Cipta Produk, Simulasi dan Idea Terbaharu

Oleh Puan Jamilah binti Mohd Ghazali
14 November 2022, 9:32 pm
YOUTH 2022 Landasan Berkongsi Hasil Reka Cipta Produk, Simulasi dan Idea Terbaharu

PAGOH: Pada 29 Oktober 2022, telah berlangsungnya acara pengumuman pemenang bagi pertandingan Youth Invention and Innovation Fest (YOUTH) 2022 anjuran Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) secara dalam talian.

YOUTH 2022 adalah sebuah program pertandingan inovasi dan reka cipta, bertujuan untuk menggalakkan serta membudayakan norma daya cipta serta inovasi dalam kalangan belia.

Program ini merupakan salah satu landasan untuk semua pereka cipta tempatan dan pembangun produk serta sistem berkongsi hasil reka cipta produk, simulasi dan idea terbaharu mereka.

Pertandingan inovasi dan reka cipta ini, terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah bagi kategori Junior Innovator, pelajar institusi pengajian tinggi (awam dan swasta) bagi setiap peringkat pengajian bagi kategori Senior Innovator, dan kategori Terbuka bagi golongan profesional dan industri.

YOUTH 2022 merangkumi pelbagai bidang penyelidikan dan inovasi, antaranya sains dan teknologi, pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrik, sains gunaan termasuk bidang matematik, perniagaan, dan sebagainya.

Format pertandingan masih dikekalkan seperti acara tahun lepas iaitu secara dalam talian, sekali lagi mencungkil lebih banyak bakat generasi muda yang ditonjolkan melalui karya-karya mereka.

Selain peserta, pujian layak diberikan kepada ibu bapa serta guru-guru yang telah memberikan sokongan padu terhadap program ini.

Ini dibuktikan dengan sebanyak 11 penyertaan daripada kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Seramai 39 pemenang pingat emas, 40 pingat perak dan 10 pingat gangsa daripada semua kategori penyertaan telah dipilih hasil dari penilaian daripada juri-juri program.

Setiap pemenang berjaya memperoleh pingat serta sijil pengiktirafan digital dari pihak penganjur.

Namun, apa yang lebih membanggakan adalah semangat yang ditonjolkan oleh setiap peserta sepanjang program ini berlangsung.

Diharapkan program YOUTH akan terus mendapat sokongan dan penyertaan dari seluruh warganegara Malaysia serta dijadikan sebagai medan kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan sasar untuk menunjukkan semangat mereka cipta dan berinovasi menerusi penghasilan karya-karya mereka.