Skip to main content

Berita

Penerapan Asas Fizik Kepada Pelajar Tahun 4 Sehingga 6

Oleh Puan Shazana binti Hashim
18 Disember 2022, 7:33 pm
Penerapan Asas Fizik Kepada Pelajar Tahun 4 Sehingga 6

PAGOH: Program Young Technologist @ School 2022 telah dilaksanakan dengan jayanya pada 13 Disember 2022 secara atas talian. Program anjuran Jabatan Sains dan matematik (JSM), Pusat Pengajian Diploma (CeDs) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama yang daripada pihak Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kluang berjaya menarik minat hampir 100 orang pelajar SRAB dari tahun 4 hingga 6 untuk menyertai dan menjayakan program ini.

Penglibatan yang komprehensif diperolehi daripada 65 orang pelajar siswa-siswi tahun 1 dari jurusan Diploma Kejuruteraan Teknologi Kimia (DAK) dengan seliaan para pensyarah.

Program berkonsepkan khidmat masyarakat ini diadakan bertujuan untuk berkongsi dan menerapkan pengetahuan yang berkaitan bidang Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) serta aplikasinya di dalam kehidupan kepada pelajar sekolah.

Pengolahan sesi program kepada kumpulan A dan B memberikan impak yang lebih berkesan dalam penerapan nilai-nilai pengetahuan STEM melalui kepelbagaian ciptaan dan inovasi.

Persembahan pelbagai video oleh siswa dan siswi dari kumpulan A dan B telah ditayangkan kepada para pelajar SRAB dengan kepelbagaian konsep fizik.

Kumpulan A mempersembahkan inovasi seperti projek Bottle Submarine, Archimedes Hot Air Balloon, Water Rocket, Rubber Band Powered Car dan Catapult yang mana menerapkan prinsip fizik seperti Archimedes, Inersia dan Momentum.

Manakala siswa dan siswi dari kumpulan B mempersembahkan inovasi seperti projek Hot Air Balloon, Water Turbine Energy, Hydraulic Gripper, Balloon Powered Car, The Fall (payung terjun) dan Hydraulic Lift yang menggunakan prinsip Pascal, Pemuliharaan Tenaga, Tenaga Kinetik dan Rintangan.

Selain tayangan dua belas buah video inovasi kepada para pelajar, pihak UTHM telah mengadakan kuiz yang menarik berbentuk permainan video dan pelbagai bentuk soalan melalui website “Blooket” diikuti sesi soal-jawab antara para pelajar dan fasilitator bagi mengenal pasti tahap pemahaman para pelajar SRAB.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih atas usaha para pelajar siswa-siswi dan pensyarah yang telah memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat sambutan yang meriah dari para pelajar SRAB.


Young Technologist @ School | Asas Fizik