Skip to main content

Berita

'Break the Bias in STEM' Dorong Pelajar Sekolah Ceburi Kerjaya Bidang STEM

Oleh Cik Bakhreza A. Talip, Ts Inv. Dr Shelena a/p Soosay Nathan
18 Februari 2023, 9:24 am
'Break the Bias in STEM' Dorong Pelajar Sekolah Ceburi Kerjaya Bidang STEM

PAGOH: Seramai 76 orang pelajar dari SMK Bandar Maharani telah menyertai program Break the Bias in STEM anjuran Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui kumpulan fokus ICT for Technology Humanization (ITecH) bersama ST Microelectronics yang telah diadakan pada 16 Februari 2023 lalu.

Majlis perasmian program kolaborasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara CeDS dan rakan industri daripada ST Microelectronics telah diadakan di Ruang Legar, Blok A1, UTHM Pagoh dan telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Ts Dr Mohd Kamarulzaki bin Mustafa, Provost UTHM Pagoh.

Break the Bias in STEM merupakan program pemindahan ilmu dan perkongsian pengalaman yang interaktif daripada barisan penceramah wanita yang telah berkecimpung dalam bidang kejuruteraan sebagai pengajar di Kolej Kemahiran Tinggi dan jurutera di ST Microelectronics.

Program bertaraf antarabangsa ini yang bertemakan STEM Your Way dianjurkan sempena sambutan Hari Antarabangsa untuk Wanita dan Kanak-kanak Perempuan Dalam Sains.

Tujuan utama penganjuran program adalah untuk memberikan motivasi keperluan bidang pendidikan dan pengajian berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) adalah sesuai untuk semua tidak mengira jantina dan budaya bangsa.

Peserta juga didedahkan dengan persekitaran pekerjaan di dalam ST Microelectronics yang canggih dengan penggunaan teknologi pengesan dan robotik melalui tayangan video.

Penganjuran program jalinan kerjasama akademik dan industri sebegini dilihat dapat meningkatkan lagi keterlihatan dan komitmen kumpulan fokus di CeDS dalam menggerak inisiatif memupuk minat dan minda positif terhadap STEM terutamanya dalam kalangan pelajar di sekolah angkat yang berdaftar di UTHM.

Sesi penerangan berkaitan program pengajian peringkat diploma di UTHM serta pameran projek berasaskan sains, kejuruteraan dan teknologi turut diadakan.

Pihak industri, ST Microelectronics juga telah menaja jamuan makan tengah hari dan cenderahati kepada semua peserta yang hadir selain turut memberi hadiah istimewa kepada peserta yang berjaya menjawab soalan kuiz di akhir program.

Turut hadir ke program yang julung kali diadakan ini, Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Timbalan Dekan Akademik; Cik Norfaizah binti Sai, Penolong Pendaftar Kanan; Ts Dr Noordiana binti Kassim @ Kasim, Ketua Jabatan, Jabatan Teknologi Maklumat (JTM); guru-guru pengiring serta para pensyarah dan pelajar JTM.