Skip to main content

Berita

Seminar Bersama SWCorp Malaysia Dedah Pelajar Kepada Sistem Pengurusan Sisa Pepejal

Oleh Dr Noorul Hudai binti Abdullah
07 Jun 2023, 7:11 pm
Seminar Bersama SWCorp Malaysia Dedah Pelajar Kepada Sistem Pengurusan Sisa Pepejal

PAGOH: Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan sebuah seminar berkaitan pengurusan sisa pepejal di Malaysia.

Seminar tersebut yang diadakan pada 4 Jun 2023, telah berlangsung secara fizikal di Dewan Auditorium 4.

Program ini dijayakan oleh pelajar dan pensyarah seramai lebih kurang 190 orang peserta.

Objektif seminar ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar berkaitan sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia.

Program ini dijalankan dengan menjemput seorang Jurutera dari SWCorp Malaysia, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Encik Mohamed Nur Syafiq bin Mohamed Hanif.

Beliau mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam bidang berkaitan pengurusan sisa pepejal.

Hasil dari program seminar ini, penceramah telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau berkaitan sistem dan dasar yang diguna pakai di Malaysia khususnya dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Justeru, pelajar dapat didedahkan dengan situasi sebenar berkaitan topik ini.

Pendedahan ini dapat membantu pelajar lebih memahami keadaan sebenar di tapak pelupusan sampah yang mana melibatkan pelbagai proses dan sekali gus membantu pelajar menguasai topik yang dipelajari di dalam kelas.