Skip to main content

Berita

Lawatan ke SIRIM Wadah Potensi Kolaborasi UTHM-SIRIM

Oleh Ts Nurul Izzati binti Mohd Ismail, Puan Basirah binti Fauzi
17 September 2023, 12:53 pm
Lawatan ke SIRIM Wadah Potensi Kolaborasi UTHM-SIRIM

SHAH ALAM: Suatu lawatan ke Pusat Penyelidikan Bioteknologi Industri (IBRC), SIRIM Berhad yang diketuai oleh Timbalan Dekan Pembangunan, Penyelidikan dan Penerbitan, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Ts Dr Hazlini binti Dzinun, bersama Dekan Fakulti Sains Gunaan (FAST), Prof. Madya Dr Mohamad Zaky bin Noh dan tiga orang staf akademik daripada Jabatan Sains dan Matematik, CeDS telah diadakan pada 15 September 2023 (Jumaat) yang lalu.

Lawatan tersebut bertujuan untuk membincangkan mengenai potensi kolaborasi dua hala antara SIRIM Berhad dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam bidang penyelidikan.

Pihak IBRC yang diketuai oleh Pengurus Besar, Dr Ahmad Hazri bin Rashid menyambut baik usul tersebut dan turut menyampaikan hasrat untuk menjadi rakan strategik dalam pembangunan inovasi teknologi makanan haiwan ternakan yang kini sedang giat dijalankan di CeDS, UTHM.

Selain itu, lawatan ini juga telah merapatkan hubungan antara SIRIM Berhad dan UTHM sekali gus dapat membantu dalam mempromosikan kemahiran dan perkhidmatan yang ada di UTHM kepada pihak luar.