Skip to main content

Berita

Kolaborasi Antara UTHM dan Industri Hybrid Selatan: Inovasi Palet Makanan Arnab Untuk Manfaat Komuniti

Oleh Ts Dr Hazlini binti Dzinun
01 Disember 2023, 10:15 pm
Kolaborasi Antara UTHM dan Industri Hybrid Selatan: Inovasi Palet Makanan Arnab Untuk Manfaat Komuniti

PAGOH: Perbincangan kolaborasi industri antara para penyelidik UTHM yang majoritinya merupakan ahli Kumpulan Fokus Membrane Technology and Environmental Research (MeTER) telah diadakan pada 30 November 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat 3.

Projek kolaborasi ini telah lama terjalin sejak pertengahan tahun 2021 sehingga kini masih giat dijalankan.

Sesi kolaborasi ini bermula ketika pihak penternak menghadapi cabaran dimana harga makanan palet meningkat setiap minggu, oleh itu pihak penternak telah berbincang dengan Prof. Ts Dr Mohd Kamarulzaki bin Mustafa, Provost Universiti Tun Hussein Onn Malysia (UTHM) ketika itu yang menjadi wakil bagi mempertemukan pihak penternak, Koperasi Komuniti Hybrid Selatan Berhad bersama para penyelidik UTHM.

Sehingga kini, sebanyak RM40 000 geran penyelidikan telah diterima dimana RM20 000 adalah dari geran kontrak UTHM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Zaky bin Noh.

Setelah geran tersebut tamat, pihak penyelidik dan Koperasi Komuniti Hybrid Selatan Berhad berjaya mendapatkan dana daripada Yang Berhormat Menteri Besar Johor sebanyak RM20K bagi meneruskan projek yang sedang dijalankan.

Bagi menjayakan projek penyelidikan bersama ini, memorandum perjanjian bagi kedua-dua pihak telah ditandatangani.

Besar harapan dari para penyelidik UTHM kepada Koperasi Komuniti Hybrid Selatan Berhad dimana hasil penyelidikan ini dapat membantu mereka bagi mendapatkan harga palet makanan arnab dengan harga yang lebih rendah namun berkualiti premium seperti palet makanan yang telah dikomersialkan.

Demi mengetengahkan hasil penyelidikan ini, para penyelidik UTHM juga telah menyertai International Research and Innovation Symposium and Exposition (RISE2023) yang dianjurkan oleh Pusat Pengkomersialan dan Inovasi (ICC), UTHM dan memenangi Gold Medal bagi tajuk projek Innovative Rabbit Feed Pellet.

Diharapkan projek ini dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada komuniti secara amnya dalam menghasilkan arnab pedaging yang juga boleh menjadi sumber pendapatan mereka.