Skip to main content

Berita

13 Pelajar Diploma UTHM Sertai Program Perantis Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lahir Graduan Kompeten di Sektor Pelabuhan

Oleh Encik Tuan Mohd Hafeez bin Tuan Ibrahim
06 Februari 2024, 3:12 pm
13 Pelajar Diploma UTHM Sertai Program Perantis Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lahir Graduan Kompeten di Sektor Pelabuhan

GELANG PATAH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan lawatan kerjasama industri ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor. Lawatan ini merupakan kunjungan balas daripada UTHM ke PTP melalui kesinambungan Program Young Talent Development: Port Equipment Technician Apprentice (PETech) melibatkan 13 orang pelajar CeDS yang telah bermula sejak Julai 2023. Program PETech ini merupakan sebuah program perantis yang melatih pelajar tentang kemahiran pengendalian peralatan teknikal di pelabuhan dalam melahirkan Port Equipment Technician (PETech) yang kompeten.

Delegasi CeDS, UTHM yang diketuai oleh Timbalan Dekan (Akademik), Dr Muhammad Faizal bin Ismail bersama 5 orang pensyarah daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrik disambut mesra oleh Pengurusan Kanan (Kejuruteraan dan Fasiliti), Encik Mahmoud Dorman Hussein Shouman serta pasukan daripada bahagian teknikal dan kejuruteraan. Inisiatif lawatan ini bertujuan untuk meneruskan lagi kerjasama dalam menjayakan program perantis serta mendapatkan input penambahbaikan program akademik dalam menghasilkan graduan UTHM yang kompeten selaras dengan keperluan industri semasa.

Selain itu, kerjasama dilanjutkan dengan membincangkan potensi penyelidikan berkenaan isu kelestarian dalam pengoperasian kren di pelabuhan. Penyelenggaraan kren perlu beroperasi secara efektif kerana ianya bukan sahaja dapat meminimakan kesannya kepada alam sekitar, malah mampu menjimatkan kos operasi mesin. Oleh itu, permulaan kerjasama ini dapat membuka ruang para penyelidik UTHM untuk berkongsi maklumat, data serta hasil dapatan daripada kajian yang mampu memberi input berguna kepada pihak PTP.

Justeru, usaha ini memberi manfaat besar kepada UTHM dalam memperluaskan lagi kerjasama dalam melahirkan kumpulan bakat yang kompeten serta meneroka potensi penyelidikan yang memfokuskan pengoperasian kren yang lestari di pelabuhan. Kerjasama ini amat bertepatan dengan visi UTHM iaitu menjadi universiti teknikal global dalam bidang teknologi lestari dan pengangkutan. Hadir sama, Pengurus Bahagian Latihan dan Pembangunan PTP, Puan Rosliza Che Wahab, wakil daripada Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Dr Abu Ubaidah bin Shamsudin selaku Timbalan Pengarah (Jaringan Industri dan Kerjasama Universiti) serta Dr Raden Mohd Farhan Helmy bin Raden Ismail, Ketua Jabatan (Kerjasama Universiti).