Skip to main content

Berita

Memberi Sambil Beramal Menerusi Jualan Kuih Raya

Oleh Saudari Nur Syuhada Amira binti Zulkarnain
26 Mac 2024, 10:44 am
Memberi Sambil Beramal Menerusi Jualan Kuih Raya

PAGOH: Program #PPDCare: Memberi Sambil Beramal ini telah melibatkan lebih daripada 20 mahasiswa/i yang sama-sama membantu untuk menjayakan program ini. Program ini telah berlangsung pada 17 hingga 25 Mac tarikh jualan kuih dan pengagihan berlangsung pada 30 Mac 2024, Jumaat. Seramai lapan orang ahli jawatankuasa telah bertungkus-lumus mengerahkan tenaga dan menyumbangkan idea bagi menjayakan program ini. Dua orang penasihat juga turut bertanggungjawab ke atas program ini iaitu Dr Muhammad Azri bin Othman dan Sr Nornajihah binti Mohammad Yazid.

Program ini telah melibatkan penyertaan pelajar kampus cawangan Pagoh. Untuk makluman, Exco Kebajikan Mahasiswa sesi 2023/2024 telah membuka pelbagai pilihan kuih raya untuk dijual kepada mahasiswa/i UTHM. Harga kuih dijual dengan harga yang berpatutan dan mampu milik oleh semua pelajar. Jualan kuih ini juga terbuka kepada pensyarah UTHM yang berminat untuk membantu jualan kuih ini.

Program #PPDCare: Memberi Sambil Beramal bertujuan untuk mendapatkan hasil sumbangan untuk dimasukkan ke dalam tabung infak Ramadan. Oleh itu, pembelian yang dilakukan secara tidak langsung telah membantu mahasiswa/i UTHM yang berkeperluan. Program ini akan melahirkan warga UTHM yang pemurah dan bijak dalam membuat pembelian serta dapat memupuk semangat keusahawanan dalam komuniti. Dengan adanya program seperti ini, secara tidak langsung merupakan satu langkah yang dominan dalam mengambil inisiatif untuk mengumpul duit untuk disalurkan ke dalam tabung infak.

Diharapkan agar program ini meninggalkan kesan dan memberi impak yang positif terhadap mahasiswa/i supaya dapat melatih warga UTHM untuk bersikap pemurah dan bijak dalam membuat pembelian. Hal ini demikian kerana, mahasiswa/i inilah tidak lain tidak bukan yang akan membantu dan mendorong kepada kecemerlangan UTHM pada masa yang akan datang.