Skip to main content

Berita

CeDS Alumni Day 2024 Serie 1: Bonding, Belonging, Giving Back

Oleh Puan Suhaila binti Sahat
20 Jun 2024, 7:09 am
CeDS Alumni Day 2024 Serie 1: Bonding, Belonging, Giving Back

PAGOH: Jawatankuasa Kebolehpasaran Graduan dan Alumni, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA), UTHM telah menganjurkan program CeDS Alumni Day 2024 Serie 1: Bonding, Belonging, Giving Back. Melalui medium atas talian dengan menampilkan barisan panel-panel dari pihak industri iaitu syarikat Perlabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn Bhd. Program ini telah menarik minat 158 orang pelajar tahun 2 dari 3 program kejuruteraan iaitu program Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DAM), Diploma Kejuruteraan Elektrikal (DAE) dan Diploma Kejuruteraan Awam (DAA). Program ini turut melibatkan seramai 6 orang staf akademik CeDS dan dibantu dengan ahli jawatankuasa program bagi melancarkan lagi perjalanan program.

Program dimulakan dengan sesi perkongsian dari pihak PTP yang diwakili oleh Puan Rosliza binti Che Wahab selaku Pengurus Sumber Manusia HCM Div. – Learning and Development, PTP berkaitan profil syarikat dan peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak PTP. Terdapat beberapa program anjuran pihak PTP dalam mengasah kemahiran pekerja sebelum diserap masuk bekerja dengan pihak PTP. Program-program ini merangkumi pelbagai lapisan pendidikan dari lepasan diploma dan ijazah. Di antara program yang ditawarkan adalah program Port Equipment Technician (PETech). Program tersebut telah menempatkan beberapa orang alumni CeDS yang berjaya layak selepas menjalani beberapa siri penilaian oleh pihak PTP. Mereka kini sedang mengikuti fasa-fasa terakhir penilaian di bawah program PETech sebelum ditawarkan bekerja dengan pihak PTP mengikut kemahiran masing-masing.

Program disemarakkan lagi dengan sesi perkongsian dari alumni CeDS yang sedang menjalani program PETech yang terdiri daripada Saudara Muhammad Alif Najmi bin Zainizan yang merupakan alumni program DAE dan Saudara Muhammad Yusof bin Zulkiflee, alumni dari program DAM. Hasil dari sesi perkongsian tersebut telah menarik minat para pelajar yang hadir dengan memberikan beberapa soalan berkaitan program yang mereka sedang mengikuti. Secara tidak langsung perkongsian alumni ini telah menyuntik semangat dan minat para pelajar untuk mengikuti program tersebut.

Di akhir program, pihak PTP telah berkongsi peluang-peluang kepada para pelajar untuk bersama mengikuti program anjuran PTP sebagai persediaan sebelum bergelar warga kerja syarikat PTP. Ini adalah peluang keemasan yang tersedia buat bakal graduan CeDS terutamanya dari program DAM, DAE dan DAA dan diharap program ini akan terus mengukuhkan lagi hubungan antara CeDS, UTHM dalam menyediakan platform penyediaan perintis-perintis bagi program anjuran pihak PTP di masa akan datang.