Skip to main content

Berita

Lebih 450 Peserta Mendapat Manfaat Daripada Program Khidmat Masyarakat Bersama Industri Dalam Perkongsian Ilmu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya
28 Ogos 2024, 6:53 am
Lebih 450 Peserta Mendapat Manfaat Daripada Program Khidmat Masyarakat Bersama Industri Dalam Perkongsian Ilmu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

PAGOH: Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan satu program perkongsian ilmu bersama pakar industri secara dalam talian. Program khidmat masyarakat anjuran bersama PLUS Expressways Berhad (PLUS) telah memfokuskan kepada amalan terbaik industri terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Program yang berlangsung selama separuh sehari ini telah menghimpunkan lebih daripada 450 peserta yang terdiri daripada pelajar diploma Semester Khas 2024/2025, pensyarah serta masyarakat luar. Pihak PLUS telah diwakili oleh Puan Salamah binti Mohd Ab Rahman yang merupakan salah seorang pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan di PLUS sebagai Operational Safety and Incident Management, HSSE, telah berkongsi pengetahuan serta pengalaman beliau dalam mengurus risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan, terutamanya dalam industri pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya.

Dekan CeDS, Dr Muhammad Faizal Ismail dalam aluan beliau, menekankan pentingnya kerjasama antara industri dan akademia untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga peka terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Beliau berharap agar program ini dapat memberi manfaat besar kepada semua peserta dalam mempraktikkan amalan keselamatan yang lebih baik di masa hadapan.

Sepanjang program tersebut, pelbagai topik telah dibincangkan termasuklah kepentingan pematuhan terhadap peraturan keselamatan, penggunaan peralatan pelindung diri (PPE), dan kaedah pengurangan risiko kemalangan yang diamalkan oleh pihak industri di tempat kerja. Para peserta juga berpeluang untuk terlibat dalam sesi soal jawab dan berkongsi pandangan mereka mengenai cabaran keselamatan yang dihadapi oleh pihak industri dan langkah yang diambil bagi menghadapi cabaran tersebut.

Program ini merupakan salah satu initiatif Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dalam usaha untuk memastikan pelajar, staf dan masyarakat luar sentiasa peka terhadap perkembangan terkini dalam industri, terutamanya dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan amalan terbaik yang boleh dijadikan panduan.


Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH): Amalan Terbaik Industri