Skip to main content

Berita

Kerjasama Baharu Antara Pusat Pengajian Diploma UTHM dan IKTBN Pagoh: Meneroka Peluang Dalam Bidang Inovasi dan Latihan

Oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad
05 September 2024, 3:40 pm
Kerjasama Baharu Antara Pusat Pengajian Diploma UTHM dan IKTBN Pagoh: Meneroka Peluang Dalam Bidang Inovasi dan Latihan

PAGOH: Satu lawatan rasmi dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang penyelidikan, inovasi, dan latihan. Lawatan yang diadakan dari pukul 10:00 pagi hingga 1:00 tengah hari ini disertai oleh beberapa wakil UTHM yang diketuai oleh Dr Muhammad Azri bin Othman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, bersama beberapa wakil dari pelbagai jabatan di UTHM.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menerokai potensi kerjasama strategik dalam usaha memperkasakan kepakaran dan inovasi di kedua-dua institusi. Menurut Dr Muhammad Azri, UTHM amat komited untuk menggalakkan perkongsian kepakaran dalam bidang penyelidikan dan inovasi, dengan IKTBN dilihat sebagai rakan kongsi yang berpotensi besar.

Lawatan dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Encik Muhammad Hisam bin Mohd Adam, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKTBN Pagoh, diikuti dengan pembentangan dari wakil IKTBN dan UTHM. Antara topik yang dibincangkan termasuk penawaran kursus modular oleh IKTBN serta projek penyelidikan yang sedang dijalankan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memfokuskan kepada pembangunan mesin sungkupan tanaman daripada bulu kambing biri-biri.

Para peserta lawatan juga berpeluang melawat bengkel-bengkel di IKTBN termasuk Bengkel Alatan dan Acuan, Bengkel Kimpalan, dan Bengkel Pemesinan Am. Lawatan ini turut mendedahkan bahawa IKTBN menerima tempahan kerja luar dan mempunyai hubungan rapat dengan industri untuk memastikan pelajar mendapat latihan yang relevan dengan pasaran kerja semasa.

Antara dapatan penting dari lawatan ini adalah pengiktirafan keperluan IKTBN untuk khidmat nasihat dalam aspek hak cipta, paten, dan pengkomersialan produk, serta peningkatan penulisan kertas teknikal. Dalam perbincangan ini juga, UTHM mencadangkan beberapa inisiatif kolaborasi, termasuk penglibatan sebagai panel penilai projek akhir pelajar serta usaha penyeliaan bersama dalam projek-projek akhir.

Cadangan kerjasama yang lebih rasmi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) atau Letter of Intent (LOI) turut diketengahkan. Usaha ini diharapkan dapat memacu inovasi dan mengukuhkan hubungan akademik dan industri dalam melahirkan graduan yang lebih berdaya saing di masa hadapan.

Kerjasama ini bukan sahaja mencerminkan kesungguhan kedua-dua institusi dalam memperkasakan latihan kemahiran tetapi juga sebagai langkah strategik untuk menghasilkan penyelidikan dan produk yang lebih bernilai komersial, sekali gus memanfaatkan industri tempatan.