Skip to main content

Berita

Lawatan ke Ladang Ternakan Lembu Farm Fresh Dedah Pelajar Kepada Teknologi Pemprosessan Makanan

Oleh Puan Siti Fatimah binti Mohd Noor, Saudara Muhammad Azib bin Adam
23 Oktober 2024, 3:37 pm
Lawatan ke Ladang Ternakan Lembu Farm Fresh Dedah Pelajar Kepada Teknologi Pemprosessan Makanan

SERDANG: Seramai 42 pelajar tahun 2 Diploma Sains Gunaan (DAU) dan 10 Pensyarah telah mengikuti lawatan industri ke ladang ternakan lembu Farm Fresh di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Ladang ini dikendalikan oleh syarikat Serdang Dairy Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Farm Fresh Berhad dengan kerjasama UPM sebagai Pusat Kecemerlangan Industri. Tujuan program lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan industri terhadap teknologi pemprosesan makanan untuk kursus Asas Teknologi Sains Makanan (DAU21303).

Lawatan separuh hari ini melibatkan lawatan ke keseluruhan ladang ternakan lembu Farm Fresh di UPM dengan pengalaman menaiki traktor. Dalam lawatan ini, pelajar didedahkan dengan kaedah penternakan lembu baka berkualiti Yarra dan Henry Jones daripada Australia yang boleh hidup sihat dalam cuaca di Malaysia. Baka ini berupaya menghasilkan susu yang berkualiti tinggi. Lembu yang diternak dalam suasana yang kondusif dimana lembu diasingkan tempat untuk anak lembu, lembu dewasa, lembu mengandung dan lembu selepas melahirkan. Kandang lembu ini juga diinovasikan dengan muzik penenang, kawasan untuk self-scrubber, kawasan mandi dan keringkan badan lembu sebelum ke kawasan pemerahan susu untuk memastikan kebersihan sebelum susu diperah. Semua perjalanan aktiviti harian lembu dijalankan sendiri oleh lembu yang telah dilatih dengan pengawasan pekerja yang minimum. Najis lembu disalurkan dan dipamkan ke kawasan pengasingan pepejal dan cecair untuk meminimumkan sisa cecair untuk dirawat untuk digunakan sebagai air pembersih kandang. Sisa pepejal najis lembu digunakan semula sebagai sumber zat dan fiber untuk bahan baja kompos dan medium tanaman sayuran.

Disamping melawat dan mempelajari proses penjagaan lembu dalam menghasilkan susu yang berkualiti tinggi, pelajar juga dapat melihat beberapa spesies ayam daripada seluruh dunia dan juga haiwan ternakan ladang yang lain di sekitar ladang Farm Fresh UPM ini. Pelajar juga didedahkan dengan proses penghasilan baja kompos daripada sisa pepejal najis lembu menggunakan larva lalat cacing hitam dimana kebolehan spesies ini untuk menguraikan sisa dengan cepat. Lalat cacing hitam juga merupakan alternatif sumber protein tinggi di dalam diet haiwan ternakan.

Hasil daripada lawatan ini, pelajar dapat menambahkan pemahaman terhadap proses penternakan lembu susu serta inovasi yang dilakukan untuk meminimumkan sisa dan memaksimumkan hasil dapatan daripada proses penternakan ini bukan hanya untuk satu matlamat dalam menghasilkan susu sahaja. Pengalaman lawatan ladang ini dapat mengembangkan lagi ilmu dan minat pelajar dalam bidang penternakan dan teknologi makanan.


Lawatan ke Ladang Ternakan Lembu Farm Fresh