Skip to main content

Berita

UTHM dan UTeM Bersedia Laksana Program Mobiliti 11th TMAC 2025 Peringkat Antarabangsa

Oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya, Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad
04 November 2024, 3:06 pm
UTHM dan UTeM Bersedia Laksana Program Mobiliti 11th TMAC 2025  Peringkat Antarabangsa

AYER KEROH: Satu lawatan dan perbincangan bagi pelaksanaan program mobiliti 11th TU-UTeM Academic Center (TMAC) 2025 peringkat antarabangsa telah diadakan di Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh Melaka pada 4 November 2024. Delegasi UTHM yang dihadiri oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya dan Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad bersama dengan Prof. Dr Mohd Rizal bin Salleh, Dekan Pusat Pengajian Siswazah, UTeM merangkap Penasihat program mobiliti antarabangsa ini telah membincangkan perancangan gerak kerja pelaksanaan yang bakal melibatkan penyertaan pelajar dari UTHM, UTeM, Okayama Prefectural University (OPU) Jepun, dan Tokushima University (TU) Jepun, dengan penglibatan sekitar hampir 80 peserta.

Program bertema Industri dan Budaya ini bertujuan memperkenalkan mahasiswa kepada konsep kerjasama merentas budaya dan bidang industri. Lima pelajar UTHM akan turut serta dalam mobiliti ini, di mana mereka akan berpeluang mempelajari budaya Jepun dan meneroka persekitaran akademik di universiti rakan. Dalam tempoh seminggu, aktiviti seperti lawatan industri, bengkel budaya, dan sesi perkongsian akademik akan diadakan untuk memperkukuh kemahiran pelajar dalam menyelesaikan masalah sebenar.

Dengan tema yang menggalakkan inovasi, program ini mampu memberi ruang kepada pelajar UTHM untuk menyumbang idea kreatif dalam menyelesaikan masalah masyarakat setempat di samping pendedahan terhadap budaya Jepun. Melalui pendekatan ini, pelajar dapat mengembangkan jaringan antarabangsa dan membina kemahiran untuk beradaptasi dengan persekitaran yang pelbagai, sejajar dengan misi UTHM dan UTeM untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.