Skip to main content

Berita

Perbincangan UTHM Bersama Koperasi Komuniti Hybrid Selatan Berhad

Oleh Nur Syafiqah binti Mohd Zamani, Ts Dr Hazlini binti Dzinun
19 November 2024, 4:54 pm
Perbincangan UTHM Bersama Koperasi Komuniti Hybrid Selatan Berhad

JASIN MELAKA: Satu perbincangan strategik telah diadakan melibatkan para penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Koperasi Komuniti Hybrid Selatan Berhad, bersama wakil industri yang berpengalaman dalam sektor agroternak. Perbincangan ini bertujuan untuk meneruskan kerjasama strategik yang telah tiga tahun dibangunkan bersama dan baru-baru ini, projek ini telah menerima dana dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi dana Industrial Matching Programme (IMaP) sebanyak RM107 600.00.

Projek ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk mengintegrasikan hasil penyelidikan akademik dengan keperluan industri, tetapi juga bertujuan mengatasi cabaran penternak, seperti kos makanan palet yang semakin meningkat dan keperluan menghasilkan makanan berkualiti tinggi pada harga lebih rendah. Antara kelebihan yang diharapkan daripada inovasi makanan palet ini adalah kadar kematian arnab pedaging yang rendah, berbanding penggunaan makanan komersial sedia ada, sekali gus meningkatkan keberkesanan hasil penternakan dan memaksimumkan keuntungan penternak. Kerjasama dengan pihak industri menjadi kunci penting untuk memastikan keberkesanan inovasi yang dihasilkan serta penerimaan produk ini di pasaran.

Pendekatan kolaboratif ini melibatkan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pemain industri yang memiliki pengalaman luas dalam bidang agroternak. Dengan sinergi yang diwujudkan, sumber, kepakaran, dan jaringan dapat digabungkan bagi meningkatkan keberkesanan ujian makanan palet ini serta memperluaskan potensi pengkomersialannya.
Melalui sokongan ini, pemilihan tapak ujian telah menjadi fokus utama perbincangan, di mana lokasi strategik dengan persekitaran sesuai untuk penternakan arnab pedaging akan memastikan ujian dapat dijalankan dalam skala sebenar.
Sehingga kini, projek ini telah mencatat kejayaan awal dengan memenangi Pingat Emas dalam International Research and Innovation Symposium and Exposition (RISE2023) menerusi inovasi palet makanan arnab. Perbincangan ini mencerminkan komitmen UTHM dan rakan kolaborasi industri untuk terus meneroka potensi besar sektor agroternak, di samping memberi manfaat langsung kepada komuniti penternak tempatan serta meningkatkan daya saing produk penternakan Malaysia di peringkat global.