Berita
Minggu Alumni Siri 4: Inspirasi Alumni, Aspirasi Pelajar

PAGOH: Minggu Alumni Siri 4 yang bertemakan Bonding, Belonging, Giving Back anjuran Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya mengukuhkan hubungan antara alumni dan pelajar semasa. Program ini yang disertai oleh pelajar-pelajar Tahun 2 Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK) dan berlangsung secara dalam talian pada 24 November 2024. Program ini menjadi platform penting untuk memupuk rangkaian hubungan profesional dan memberikan inspirasi kepada generasi tenaga kerja masa hadapan.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni CeDS, Dr Muhammad Azri bin Othman. Dalam ucapan perasmiannya, Dr Azri menekankan kepentingan penglibatan alumni dalam membentuk aspirasi profesional pelajar. Beliau turut menegaskan bagaimana program seperti ini dapat meningkatkan rasa bangga terhadap institusi dan memberikan pelajar perspektif dunia sebenar.
Program ini telah diserikan dengan sesi perkongsian yang menarik bertajuk Profesionalisme Kerjaya yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Encik Muhammad Faris bin Abdul Hadi. Encik Faris merupakan seorang alumni CeDS dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Kimia pada tahun 2019. Selain itu, beliau juga telah menamatkan pengajian dengan cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Teknologi Kimia (Bioteknologi) dengan kepujian di UTHM. Beliau telah dianugerahkan Anugerah Pelajaran Diraja dan Anugerah Khas Alumni UTHM, membuktikan kecemerlangannya bukan sahaja di bidang akademik tetapi juga sumbangannya kepada universiti dan masyarakat.
Disamping mempunyai latar belakang akademik yang sangat baik, beliau juga mempunyai pengalaman kerja yang luas dalam bidang kejuruteraan dan keselamatan, termasuk memegang peranan sebagai Pegawai Keselamatan Tapak di Ye Chiu Non-Ferrous Metal Sdn Bhd dan menjalani latihan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan produk di Angkasa Kowaris Plastics Sdn. Bhd. Beliau telah memimpin pelbagai inisiatif keselamatan dan kualiti, mencerminkan dedikasi dan kepakarannya dalam memastikan operasi yang cekap dan selamat. Kini bertugas sebagai Jurutera Alam Sekitar di Lotte Chemical Titan (M) Sdn. Bhd., Encik Faris berkongsi pengalaman dan ilmu yang sangat bernilai kepada para peserta. Dengan latar belakang akademik yang cemerlang, termasuk penerimaan pelbagai anugerah akademik, penyelidikan dan inovasi, serta kepakaran profesional dalam pengurusan alam sekitar dan keselamatan, perkongsian beliau amat relevan dan bermakna kepada pelajar khususnya pelajar-pelajar 2 DAK.
Encik Faris menjelaskan tanggungjawab beliau sebagai Jurutera Alam Sekitar, termasuk mengekalkan persijilan ISO, menjalankan audit, dan memimpin inisiatif kelestarian. Beliau turut memberikan panduan tentang persediaan malangkah alam pekerjaan selepas tamat pengajian, antaranya cara penulisan resume yang baik dan kaedah menjawab temuduga dengan profesional. Encik Faris juga membincangkan beberapa jenis soalan yang biasa ditanya oleh penemu duga supaya mereka lebih bersedia memberikan jawapan yang relevan. Semasa sesi soal jawab, para pelajar menunjukkan minat dan mengajukan pelbagai soalan termasuklah bilangan minimum pencapaian akademik dan ko-kurikulum yang perlu ditulis di dalam resume, berapa kekerapan untuk mengemaskini resume, serta tip sekiranya tidak dapat memberikan maklum balas semasa temuduga.
Program ini meninggalkan impak yang besar, dengan pelajar meluahkan penghargaan mereka terhadap nasihat praktikal dan pandangan dunia sebenar yang dikongsikan. Perjalanan Encik Faris daripada seorang pelajar diploma kepada seorang jurutera profesional menjadi contoh terbaik tentang kepentingan usaha gigih dan pembelajaran berterusan. Minggu Alumni Siri 4 ini telah berjaya memperkukuh hubungan antara alumni dan institusi, sambil memberi motivasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kerjaya mereka.
CeDS Alumni Week Serie 4 (DAK): Bonding, Belonging, Giving Back
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan…
-
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading
-
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia
-
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan
-
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21
-
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global
-
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar
-
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16
-
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B…
-
Lawatan CeDS ke JPN Johor