Skip to main content

Berita

Pelajar Diploma Teknologi Maklumat Adakan Lawatan Industri ke MIMOS Berhad

Oleh Noril Izzeti binti Edi Putra
26 November 2024, 5:46 pm
Pelajar Diploma Teknologi Maklumat Adakan Lawatan Industri ke MIMOS Berhad

KUALA LUMPUR: Pada 26 November yang lalu, Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan sebuah lawatan industri ke MIMOS Berhad. Lawatan ini dianjurkan menerusi kata sepakat para pelajar Tahun 2 Diploma Teknologi Maklumat (DAT) Sesi 2024/2025 dengan matlamat memperoleh pendedahan yang lebih luas tentang konsep asas di dalam industri pembangunan aplikasi. Seramai 171 pelajar turut serta dalam lawatan industri ini sambil diiringi 7 pengiring. Intipati utama lawatan ini ialah penerangan dan pencerahan mengenai aplikasi MyDigital ID.

MyDigital ID merupakan sebuah inisiatif Kerajaan Malaysia dalam melindungi identiti rakyat di atas talian. MIMOS Malaysia Berhad telah diberikan tanggungjawab untuk membangunkan aplikasi ini sejak 2016 lagi. Akibat daripada kenaikan kadar jenayah siber yang melanda negara belakangan ini, aplikasi ini telah menjadi usaha utama kerajaan dalam membendung perkara tersebut. Para peserta diberikan penerangan dengan terperinci tentang struktur logikal dan struktur fungsi MyDigital ID. Para pelajar dimaklumkan yang MyDigital ID tidak menggantikan myKad malah menjadi satu identiti yang terasing dan hanya sah digunakan atas talian. Segala maklumat peribadi pengguna yang digunakan untuk mendaftar MyDigital ID akan melalui proses one-way hashing di mana setiap maklumat itu akan ditukarkan menjadi kumpulan aksara yang tidak bermakna dan tidak boleh ditukar balik. Elemen ini penting bagi memastikan integriti dan keselamatan data rakyat terjamin.

Encik Nik Mohd Yusrin, Chief Deployment Officer untuk projek pembangunan MyDigital ID ini menyatakan, "Harapan ataupun objektif utama pembangunan MyDigital ID bukan sahaja menjadi solusi kepada jenayah kecurian identiti tetapi memudahkan rakyat dalam menguruskan identiti mereka di atas talian. Salah satu ciri MyDigital ID ini ialah penerapan elemen SuperApp di mana aplikasi-aplikasi lain seperti myJPJ dan mySejahtera hanya memerlukan MyDigital ID pengguna untuk mengakses aplikasi tersebut. Tidak perlu membuat akaun yang berasingan untuk setiap aplikasi". Pendaftaran MyDigital ID ini boleh dibuat melalui kiosk pendaftaran di tempat-tempat yang menyediakannya. Difahamkan di Tealive dan BaskBearCoffee ada memiliki kiosk pendaftaran ini di seluruh negara. Selain itu, pengguna juga boleh mendaftar secara atas talian menerusi aplikasi itu sendiri. Setelah selesai mendaftar, pengguna akan diberi satu e-sijil yang membuktikan pendaftaran telahpun dibuat dan sijil tersebut hanya aktif selama setahun dan perlu dibaharui secara percuma.

Seterusnya, setelah selesai sesi taklimat mengenai MyDigital ID, para peserta dibawa mengelilingi pusat penyelidikan di MIMOS Berhad. Para peserta dapat melihat pelbagai jenis inovasi dan pembaharuan yang dilakukan oleh pihak MIMOS Berhad. Sebagai contoh, prototaip motosikal hibrid menggunakan kuasa elektrik sebagai kuasa utama dan petrol digunakan sebagai alternatif. Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar di hadapan bangunan MIMOS Berhad dan para peserta berangkat pulang pada jam 5 petang.


Lawatan Industri Diploma Teknologi Maklumat ke MIMOS Berhad