Skip to main content

Berita

Phun with Physics

Oleh Dr Dilaeleyana binti Abu Bakar Sidik
12 Disember 2024, 10:08 am
Phun with Physics

PAGOH: Program Phun with Physics 2024 telah berlangsung pada 12 Disember 2024 (Khamis) dari jam 9:00 pagi hingga 12:00 tengah hari bertempat di Ruang Legar Blok A1, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Cawangan Pagoh. Program ini telah dianjurkan oleh Jabatan Sains dan Matematik, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM.

Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK) terhadap prinsip fizik serta aplikasinya dalam kehidupan seharian. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan para pelajar untuk mengaplikasikan perkara yang telah mereka pelajari dalam tugasan atau amali yang diberikan oleh pensyarah bagi meningkatkan kualiti tugasan.

Antara aktiviti utama yang telah dijalankan termasuk pameran prototaip aplikasi fizik dalam kehidupan seharian oleh pelajar DAK, tayangan video, sesi penyampaian hadiah, dan majlis penutup. Peserta yang terlibat adalah meliputi pelajar UTHM dan pensyarah dari Jabatan Sains dan Matematik, CeDS, UTHM.

Program ini telah memberi impak besar kepada semua pelajar yang terlibat. Ia membantu pelajar memahami dan mengaplikasikan fizik dalam kehidupan dan tugasan harian mereka. Di samping itu, program ini juga menggalakkan penggunaan teknologi hijau seperti e-poster dan e-sijil untuk meminimumkan cetakan. Elemen kelestarian turut diterapkan melalui hasil projek yang menggunakan bahan terbuang atau terpakai sebagai bahan untuk menghasilkan produk prototaip.

Secara keseluruhannya, program ini memberi impak positif kepada pelajar dan memberi peluang kepada peserta untuk mengalami keseronokan mempelajari fizik sambil meningkatkan pengetahuan dan menyokong kelestarian alam sekitar.