Berita
Pelajar Tahun 1 DAM Pamer Kebolehan Dalam Kimpalan MIG

PAGOH: Para pelajar Tahun 1 DAM Diploma Kejuruteraan Mekanikal membuktikan semangat dan kebolehan luar biasa mereka dalam menguasai teknik kimpalan MIG (metal inert gas) sepanjang tempoh pengajian kursus DAM13701: Amalan Kejuruteraan Mekanikal yang dijalankan pada Semester I, Sesi 2024/2025.
Sepanjang kursus ini, para pelajar telah didedahkan kepada asas dan aplikasi kimpalan MIG, termasuk kemahiran praktikal yang diperlukan dalam industri kejuruteraan moden. Menariknya, usaha mereka tidak hanya tertumpu kepada pembelajaran teori dan latihan teknikal semata-mata, malah melibatkan penggunaan bahan kitar semula seperti besi-besi buangan bagi menghasilkan pelbagai barangan berguna.
Antara produk yang dihasilkan termasuk rak tempat letak kasut, tempat gantung penyapu, beg serta penyodok sampah dan struktur mini boleh laras untuk kegunaan bengkel. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan pemahaman pelajar terhadap aplikasi teknik kimpalan tetapi juga memupuk nilai kreatif dan kelestarian melalui kitar semula bahan buangan.
Menurut Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, pensyarah yang bertanggungjawab terhadap kursus tersebut, pendekatan pembelajaran ini bertujuan menggalakkan pelajar untuk berfikir di luar kotak dan memberi nilai tambah kepada latihan praktikal mereka.
“Keupayaan pelajar menghasilkan produk daripada besi buangan menunjukkan kreativiti dan kesungguhan mereka dalam memahami keperluan dunia sebenar industri kejuruteraan. Program ini juga sejajar dengan usaha institusi untuk menyokong prinsip pembangunan lestari”, katanya.
Selain itu, pelajar turut diberi peluang untuk mempersembahkan hasil kerja mereka dalam sesi penilaian yang melibatkan pensyarah dan rakan sebaya. Maklum balas yang diterima bukan sahaja memberi dorongan kepada mereka untuk memperbaiki kemahiran tetapi juga menyemarakkan semangat kerjasama dalam kumpulan.
Dengan usaha berterusan seperti ini, program DAM di institusi ini dijangka dapat melahirkan tenaga kerja yang kompeten, kreatif, dan bersedia menghadapi cabaran industri pada masa depan.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan…
-
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading
-
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia
-
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan
-
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21
-
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global
-
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar
-
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16
-
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B…
-
Lawatan CeDS ke JPN Johor