Berita
UTHM Jalin Kerjasama Dengan Weldzone Skill Academy Untuk Meningkatkan Kompetensi Pelajar Diploma

PAGOH: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Pengajian Diploma (CeDS) telah mengorak langkah ke hadapan dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama Weldzone Skill Academy dalam usaha memperkasa kompetensi pelajar dalam bidang kimpalan dan kejuruteraan fabrikasi. Perbincangan rasmi telah diadakan di UTHM Kampus Pagoh, yang dihadiri oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad dan Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya mewakili CeDS UTHM, tiga wakil dari UTHM Bitara termasuk Ketua Jabatan Latihan berterusan iaitu Prof. Madya Ir Dr Saliza Azlina binti Osman dan empat delegasi daripada Weldzone Skill Training Centre yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Dato’ Mohd Shukri bin Abd Aziz.
Perbincangan yang dipengerusikan oleh Penyelaras Projek Kompetensi CeDS, Ts Inv. Mahmod Abd bin Hakim Mohamad, memfokuskan kepada pelaksanaan program latihan industri, kursus pensijilan kompetensi, dan penganjuran bengkel kemahiran teknikal bersama Weldzone. Kerjasama ini bertujuan memperkukuh kemahiran pelajar serta meningkatkan peluang kebolehpasaran graduan UTHM dalam industri pembuatan dan pembinaan.
Pengarah Urusan Weldzone, menyatakan bahawa pihaknya komited untuk menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir melalui bimbingan praktikal dan pendedahan kepada teknologi terkini dalam industri kimpalan.
“Kami percaya bahawa kolaborasi ini akan menghasilkan tenaga kerja yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0”, tambah beliau.
Program kompetensi ini dijangka merangkumi aktiviti-aktiviti seperti latihan di bengkel UTHM Kampus Pagoh, penyertaan dalam projek industri sebenar, serta seminar berkaitan keselamatan dan standard kualiti welding. Pelajar juga berpeluang mendapatkan pensijilan kompetensi yang diiktiraf industri, sekali gus memberikan kelebihan dalam persaingan kerjaya.
Kerjasama strategik ini sejajar dengan matlamat UTHM untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan. CeDS UTHM berharap kolaborasi ini akan menjadi model rujukan dalam membina jaringan hubungan akademik-industri yang kukuh dan berterusan.
Majlis seterusnya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dijangka berlangsung dalam masa terdekat, menandakan permulaan rasmi kerjasama ini.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan…
-
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading
-
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia
-
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan
-
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21
-
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global
-
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar
-
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16
-
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B…
-
Lawatan CeDS ke JPN Johor