Skip to main content

Berita

'Break the Bias in STEM' 2025 di STMicroelectronics Muar

Oleh Ts Inv Dr Shelena a/p Soosay Nathan
21 Februari 2025, 9:14 am
'Break the Bias in STEM' 2025 di STMicroelectronics Muar

MUAR: Seramai 92 orang pelajar dari 8 buah sekolah sekitar Muar dan Tangkak (SK Parit Setongkat, SK Bakri Batu 5, SK Kesang, SK Bukit Gambir, SK Tg Gading, SK Sawah Ring, SK Parit Bunga, SRJK (T) Jalan Khalidi telah menyertai program Break the Bias in STEM anjuran Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui kumpulan fokus ICT for Technology Humanization (ITecH) dan Mathematics and Application (MAP) selain daripada Makerspace UTHM, Attribot Technology dan 3D Lab yang merupakan antara syarikat pelajar bersama STMicroelectronics yang telah diadakan pada 21 Februari 2025 bertempat di STMicroelectronics Muar.

Majlis perasmian program kolaborasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara CeDS dan rakan industri daripada STMicroelectronics telah diadakan di Auditorium STMicroelectronics Muar dan telah disempurnakan oleh YBrs. CS Tan, Pengurus Besar STMicroelectronics Muar.

Break the Bias in STEM merupakan program pemindahan ilmu dan perkongsian pengalaman yang interaktif serta pendedahan murid sekolah kepada STEM dengan cara yang lebih menarik dan interaktif. Program bertaraf antarabangsa ini yang bertemakan STEM Your Way dianjurkan sempena sambutan Hari Antarabangsa untuk Wanita dan Kanak-kanak Perempuan Dalam Sains.

Tujuan utama penganjuran program adalah untuk memberikan motivasi keperluan bidang pendidikan dan pengajian berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) adalah sesuai untuk semua tidak mengira jantina dan budaya bangsa.

Peserta dapat menyertai pertandingan STEM seperti perlawanan kereta Microbit, Drone serta didedahkan dengan persekitaran pekerjaan di dalam STMicroelectronics yang canggih dengan penggunaan teknologi pengesan dan robotik melalui lawatan ke tapak pengeluaran kilang..

Penganjuran program jalinan kerjasama akademik dan industri sebegini dilihat dapat meningkatkan lagi keterlihatan dan komitmen kumpulan fokus di CeDS dalam menggerak inisiatif memupuk minat dan minda positif terhadap STEM terutamanya dalam kalangan pelajar di sekolah angkat yang berdaftar di UTHM serta sekolah di sekitar Muar dan Tangkak.

Pihak industri, STMicroelectronics juga telah menaja jamuan makan tengah hari dan cenderahati kepada semua peserta yang hadir selain turut memberi hadiah istimewa kepada peserta yang berjaya dalam semua pertandingan yang dibuat sepanjang program.

Turut hadir ke program yang kali kedua diadakan ini, wakil-wakil cikgu dan pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Muar dan Tangkak serta pengurus STMicroelectronics Encik Shahrom Tumin.