Berita
Lima Pelajar UTHM Raih Pengalaman Global di Program Mobiliti Antarabangsa TMAC 2025

DURIAN TUNGGAL: Lima pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih untuk menyertai Program Mobiliti Antarabangsa sempena 11th TMAC Design Workshop 2025 yang telah berlangsung dengan jayanya dari 16 hingga 27 Februari 2025 bertempat di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Program Mobiliti Antarabangsa kali ke 11 yang diselaraskan oleh Tokushima University-UTeM Academic Centre (TMAC) dilaksanakan secara bersemuka dengan penglibatan bersama 75 orang pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Okayama Prefectural University (OPU), dan Tokushima University (TU), Jepun.
Pelajar yang terlibat adalah saudara Ahmad Haziq Bin Muhammad Sharil, saudari Amnah Batrisyia Binti Azalli. saudari Fatin Husna Nur Waf'fa Binti Kasim, saudara Aiman Fitri Bin Aizil Akmar dan saudara Muhammad Azizul Hakimi Bin Zulkefly bersama pensyarah pengiring iaitu Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya dan Ts Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad.
Objektif utama program ini selain daripada memberi pendedahan dan pemantapan kemahiran insaniah seperti kemahiran penyelesaian masalah di kalangan pelajar UTHM dan UTeM, ianya juga menyediakan ruang dan peluang kepada setiap peserta untuk berinteraksi dan berkongsi idea dan maklumat inovasi sesama mahasiswa dari universiti antarabangsa yang terlibat.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif mobiliti akademik, lima pelajar UTHM mendapat pendedahan secara langsung kepada teknologi robotik terkini melalui sesi latihan intensif yang melibatkan pengaturcaraan dan automasi robot menggunakan LEGO Mindstorms dan kerjasama rentas budaya dalam pembangunan sumo robot di mana peserta Malaysia dan Jepun bekerja dalam pasukan campuran untuk menyelesaikan cabaran teknikal. Pelajar diberi peluang untuk mereka bentuk, membina dan menguji robot sumo mereka sendiri yang kemudiannya bertanding dalam perlawanan untuk menolak robot lawan keluar dari gelanggang. Aktiviti ini bertujuan meningkatkan kemahiran teknikal dan pemahaman pelajar dalam bidang robotik serta memupuk semangat kerjasama dan persaingan sihat.
Selain daripada aktiviti akademik dan teknikal, peserta program turut berpeluang melawat beberapa destinasi menarik di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka. Lawatan ini bertujuan memperkenalkan budaya dan sejarah Malaysia kepada pelajar terutamanya kepada rakan-rakan dari Jepun serta mengeratkan hubungan antara peserta dari pelbagai negara. Pelajar UTHM memainkan peranan penting dalam memperkenalkan budaya Malaysia kepada rakan mereka dari Jepun melalui demonstrasi permainan tradisional, makanan tempatan dan seni warisan.
Program seperti ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan akademik dan budaya antara Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia dan Jepun. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran teknikal dan interpersonal mereka serta memahami kepentingan kerjasama antarabangsa dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan…
-
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading
-
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia
-
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan
-
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21
-
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global
-
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar
-
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16
-
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B…
-
Lawatan CeDS ke JPN Johor