Skip to main content

Berita

Murid SK Kampong Raja Didedahkan Kepada Pengaturcaraan Visual Berasaskan Blok Dalam Pembangunan 'Jumping Game'

Oleh Ts Dr Noordiana binti Kassim @ Kasim
22 Mei 2025, 3:07 pm
Murid SK Kampong Raja Didedahkan Kepada Pengaturcaraan Visual Berasaskan Blok Dalam Pembangunan 'Jumping Game'

PAGOH: Satu program pengajaran dan pembelajaran bagi kursus Pengaturcaraan Visual (DAT21103) telah berjaya dilaksanakan di Makmal Grafik dan Animasi serta Makmal SAVA (Sound, Audio, Visual and Animation), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Cawangan Pagoh. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM), yang bertujuan menggabungkan teori pembelajaran dengan pendekatan praktikal dan khidmat komuniti.

Objektif utama program ini adalah untuk:

  1. Memberikan pendedahan terkini kepada para guru dan pelajar sekolah dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), dengan fokus kepada teknologi yang berasaskan kelestarian.
  2. Memupuk pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan murid melalui aktiviti berasaskan teknologi.
  3. Meningkatkan kefahaman dan minat terhadap teknologi serta kesedaran tentang kepentingannya dalam kehidupan seharian.
  4. Menyokong pencapaian penunjuk prestasi utama (KPI) universiti dalam aspek pengajaran dan pembelajaran berimpak tinggi melalui projek SULAM dalam program Diploma Teknologi Maklumat.
  5. Merapatkan hubungan antara universiti dan sekolah melalui pendekatan School Based Learning, selain mempromosikan UTHM sebagai destinasi pilihan menyambung pengajian.

Seramai 85 orang pelajar daripada kursus DAT21103 Semester II, Sesi 2024/2025 telah terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program ini, di bawah bimbingan tujuh orang penasihat program. Program ini turut melibatkan 41 orang murid dari SK Kampong Raja (16 murid Tahun 6 dan 25 murid Tahun 5), bersama empat orang guru pengiring. Bagi memastikan kelancaran perjalanan, perkhidmatan bas rasmi UTHM telah disediakan untuk membawa murid-murid dan guru pengiring pergi dan balik dari sekolah ke kampus Pagoh.

Antara aktiviti utama ialah sesi pengajaran berasaskan aplikasi Scratch, di mana para pelajar UTHM membimbing murid sekolah untuk membangunkan permainan digital jenis Jumping Game. Aktiviti ini telah memberikan pengalaman langsung kepada murid-murid sekolah tentang dunia pengaturcaraan visual asas, sambil mengasah kreativiti dan kefahaman mereka terhadap konsep logik dan pergerakan dalam pembangunan permainan dalam suasana yang menyeronokkan dan interaktif, sekali gus memupuk minat terhadap bidang teknologi sejak awal usia.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Guru Besar SK Kampong Raja, Encik Mokhtar bin Ithnin, dan Ketua Jabatan, Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma UTHM, Dr Syarizul Amri bin Mohd Dzulkifli, yang hadir memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini.

Saudara Muhammad Hafizi bin Sedli, pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Maklumat, telah dilantik sebagai Pengarah Program dan telah memainkan peranan penting dalam menyelaras keseluruhan perjalanan program.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya memperkasa pelajar universiti dengan pengalaman pengajaran sebenar, tetapi juga membuka ruang kepada pelajar sekolah untuk menerokai dunia teknologi secara langsung. Kesemua 85 pelajar UTHM yang terlibat telah memainkan peranan penting bukan sahaja dalam sesi pengajaran, malah turut terlibat secara menyeluruh dalam aspek perancangan, pengurusan serta pelaksanaan program ini, menjadikan ia satu contoh cemerlang kolaborasi antara universiti dan komuniti.


SULAM Pengaturcaraan Visual Berasaskan Blok Dalam Pembangunan 'Jumping Game'